Thursday, November 02, 2006

HUKUM BERJABAT/BERSALAM DAN MENCIUM TANGAN

Prolog :- Sedikit ilmu yang amat bermanfaat untuk kita semua. Bacalah jika berkesempatan.

Kita akan membahagikan pembahasan ini kepada beberapa bahagian:
1. Hukum berjabat tangan/bersalam
2. Hukum mencium tangan
3. Hukum membongkokkan badan
4. Hukum bersujud kepada selain Allah
5. Rumusan
-------------------------------

1. Hukum berjabat tangan/bersalam

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Abu Qatadah berkata, aku bertanya kepada Anas r.a.: "Apakah para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu saling berjabat tangan?" Dia menjawab: "Ya." (HR Bukhari)

Dari al-Barra’ bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah).

Dari Atha’ bin Abdullah al-Khurasani, katanya Nabi s.a.w. telah bersaba:
"Hendaklah kamu saling berjabat tangan, nescaya hilanglah rasa dengki. Hendaklah kamu saling menmberi hadiah, nescaya kamu saling mencintai dan hilanglah permusuhan." (Hadis Mursal riwayat Imam Malik).

Dari al-Barra’ bin al-Azib r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Sesungguhnya jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, saling mengasihi dan saling menasihati, nescaya bertebaranlah dosa-dosa yang ada pada kedua orang itu."
(HR Ibnu Sunni)

Hadis di atas adalah di antara hadis yang menunjukkan bahawa berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat hukumnya.

2. Hukum mencium tangan

Al-Nawawi mengatakan bahawa dianjurkan agar mencium tangan orang yang kemuliaannya disebabkan oleh perkara yang bersangkut paut dengan agama. Seperti seorang yang zuhud, alim/ulamak, salih, warak dan sebagainya. Ini termasuklah kedua ibubapa kita yang muslim. Dimakruhkah mencium tangan seseorang yang dipandang mulia dengan sebab-sebab keduniaan, seperti orang kaya, orang yang berpangkat, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Perbuatan ini amat tidak disukai.

Dari Zari’ r.a., yang termasuk di dalam rombongan Abdul Qais, dia berkata: "Kamipun berlumba-lumba turun dari kenderaan kami, lalu kami mencium tangan dan kaki Nabi s.a.w."

3. Hukum membongkokkan badan

Adalah dimakruhkan membongkokkan badan kerana mahu menghormati seseorang. Dari Anas r.a., katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., jika seseorang dari kita bertemu saudaranya atau temannya, apakah dia perlu membungkuk kepadanya? Baginda menjawab: "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?" Baginda menjawab "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah perlu dia memegang tangannya dan bersalam dengannya?" Baginda menjawa: "Ya." (HR al-Tarmizi)

Hadis di atas bermaksud:
1. Makruh membungkukkan badan kepada seseorang.
2. Makruh memeluk dan mencium seseorang kecuali jika kembali dari permusafiran.
3. Sunat berjabat tangan ketika bertemu.

Kita sering melihat mereka yang berada di atas pentas kerana berucap atau membuat persembahan. Sebelum atau selepas berucap atau membuat persembahan, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat kepada para hadirin. Perbuatan ini adalah dimakruhkan.

4. Hukum bersujud kepada selain Allah
Umat Islam dilarang bersujud kepada selain dari Allah, samada ia berbentuk peribadatan atau penghormatan sahaja. Jika ditanya, bagaimana dengan sujud para malaikat kepada Adam? Bukankah itu sujud dari makhluk kepada makhluk?

Jawab: Sujud yang dilakukan oleh para malaika kepada Adam bukanlah sujud yang berbentuk penyembahan (ibadah), tetapi sebagai penghormatan. Perkara ini disepakati oleh para ahli tafsir.

Lagi pula sujud malaikat kepada Adam adalah atas titah perintah Allah yang wajib dipatuhi. Sehingga kita sendiripun, jika seandainya Allah memerintahkan kita agar sujud kepada seseorang, kita wajib mematuhinya. Jika perintah sujud itu diperintahkan oleh selain Allah, maka haram melakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Seandainya aku diperintahkan agar seseorang itu boleh sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan memerintahkan perempuan sujud kepada suaminya." (HR al-tarmizi)

Hadis di atas menunjukkan:
1. Larangan bersujud kepada selain dari Allah, kerana tiada arahan berbuat demikian.
2. Suami wajib ditaati dan dipatuhi oleh si isteri.
Ahli tasir mengatakan ada beberapa kemungkinan di dalam masalah sujud malaikat kepada Nabi Adam a.s:

1. Malaikat benar-benar sujud kepada Adam dengan meletakkan dahinya ke tanah. Bukan sebagai penyembahan tetapi sebagai penghormatan serta melaksanakan perintah Allah.
2. Boleh jadi juga para malaikat itu pada hakikatnya bersujud kepada Allah, tetapi dengan menjadikan Adam sebagai kiblatnya. Ini sebagaimana kita diperintahkan bersujud kepada Allah dengan menjadikan ka’bah sebagai arah kiblah kita.
3. Ada juga yang mengatakan bahawa sujud malaikat kepada Adam bukanlah sujud dalam ertikata bersujud yang sebenarnya. Tetapi ia berbentuk sujud maknawi, iaitu dengan berikrar dan mengiktiraf kelebihan Adam.

Perlakuan sujud kerana menghormati (bukan penyembahan/ibadah) memang berlaku pada umat zaman dahulu. Termasuk pada zaman Ya’qub dan Yusof, firman Allah Taala menceritakan mengenai Nabi Yusof a.s.:
"Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf…" (Yusof:100)
Tradisi bersujud kerana hormat ini berlaku hinggalah berakhir pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat Muhamad di larang bersujud kepada selain dari Allah.

Ketika para sahabat melihat pokok dan unta bersujud kepada Rasulullah s.a.w., mereka berkata: "Kami adalah lebih patut bersujud kepadamu." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak sepatutnya seseorang itu bersujud kepada selain dari Allah Tuhan seru sekelian alam."

Perkara ini juga pernah terjadi kepada Mu’az bin Jabal yang baru sampai dari Syam, lalu bersujud kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: "Apa ini?" Mu’z menjawab: "Wahai Rasulullah s.a.w., aku baru datang dari Syam, aku pernah melihat mereka (penduduk Syam) bersujud kepada pembesar dan pendeta mereka. Aku ingin melakukan itu terhadapmu." Baginda bersabda: " Jangan lakukan. Jika aku diperintahkan sesuatu itu boleh bersujud kepada sesuatu, nescaya aku akan memerintahkan agar wanita bersujud kepada suaminya….al-hadis." (HR Ibnu Majah)

Oleh itu, bersujud kepada selain dari Allah adalah haram hukumnya. Tidak kira samada sujud itu kerana penyembahan atau hanya semata-mata penghormatan.
Rumusan
1. Berjabat tangan adalah sunat.
2. Mencium tangan adalah dianjurkan kepada mereka yang dimuliakan dari segi keagamaan. Dimakruhkan jika kemuliaan itu dari segi keduniaan.
3. Membongkokkan badan kerana menghormati seseorang adalah makruh.
4. Bersujud kepada selain dari Allah adalah haram.
5. Apabila kita berjabat tangan dengan ibu atau bapa kita, kita terpaksa membongkokkan badan kerana mahu mencium tangannya. Kita membongkokkan badan bukan atas tujuan menghormatinya. Hal ini dibolehkan, cuma tidak boleh berlebih-lebihan.

Wallhu a'lam .Rujukan
1. Al-Quran
2. Tafsir al-Qurthubi
3. Sahih Bukhari
4. Al-Azkar
5. Ahsanul Kalam
~salam ceria selalu
roxannezy

No comments: