Dengan Ramadhan yang telahpun melabuhkan tirainya, izinkan saya menulis sepatah dua kata di dalam konteks semangat Aildifitri yang sedang kita rai dan sambut kini.
Rasa syukur saya panjatkan kepada Allah swt. yang mengizinkan sekali lagi buat kita semua menyambutHari Raya Aidilfitri iaitu Hari Kemenangan, hari yang telah dijanjikan oleh Allah swt. hanya untuk mereka yang berjaya melawan dan berperang dengan nafsu dan berjaya mengharungi rintangan serta dugaan sepanjang bulan keberkatan dan kerahmatan.
Sesungguhnya bulan Ramadhan itu bulan yang berganda kerana segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan olah Illahi dengan pahala yang berganda-ganda.
Tetapi ada kalanya kita terlupa atau mungkin kita sengaja buat-buat terlupa dengan dugaan dan ujian Allah swt kepada kita kerana di dalam bulan Ramadhan itu juga, nafsu kita berganda. Berganda dengan tamaknya ketika membeli lauk pauk terbuka,berganda dengan sifat tidak sabarnya ketika menghadapi sewaktu berbuka dan
berganda dengan sifat membazir ketika membuat persiapan menyambut ketibaan Aidilfitri dan sepanjang bulan Syawal.
Dari sifat buruk dan tidak terkawal kita itu, adakah kita sebenarnya telah mencapai erti sebenarnya KEMENANGAN yang Allah swt. janjikan khusus buat mereka yang diterima 100 markah puasanya?
Bulan Ramadhan yang Allah swt. perkenankan hanya kepada umat Muhammad saw. yang telah kita tinggalkan, hanya datang sekali dalam setahun. Tanya diri kita sendiri
sahabat, di dalam 30 hari Ramadhan itu tidak semuanya benar-benar menghayati Ramadhan.
Orang awam seperti kita adakalanya telah memendekkan waktunya selama seminggu sehingga menjadi 23 hari Ramadhan sahaja. Kerana diwaktu penghujungnya, kita hanya sibuk mengejar-ngejar persiapan menyambut Aidilfitri yang sepatutnya persiapan itu boleh kita lakukan sebelum Ramadhan lagi.
Mana perginya kita ketika amalan beribadah seharusnya dipertingkatkan khususnya di hari-hari terakhir Ramadhan tetapi kita sibuk di gendung-gendung dan di bazaar-bazaar pada siangnya.Malamnya pula kita sibuk dengan mempertingkat jumlah dan jenis kuih-kuih,biskut-biskut dan kudapan raya sehingga kita terlupa dan sengaja meninggalkan malam-malam yang sepatutnya kita menambahkan saham beribadah kita.
Masjid dan surau semakin kurang dan semakin susut bilangan safnya. Kita sibuk meniru orang lain, bercerita tentang rahsia dan rahmat malam seribu bulan tetapi hakikatnya kita sendiri tidak pernah untuk cuba menggapainya.Memang secara teorinya senang, pelaksanaannya yang sukar.
Allah swt. mengharamkan jasad umatNYA yang gembira dan senang dengan ketibaan Ramadhan dari api neraka. Begitu juga kepada mereka-mereka yang sangat berat hatinya meninggalkan Ramadhan. Kerana itu, kalau kita dapat lihat siaran langsung solat
di Masjidil Haram di Makkah Mukarramah, ramai di antara orang-orang alim dan soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini.
Bagi mereka,tidak ada bulan lain yang menyamai bulan Ramadhan. Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang bersedih dan dukacita meninggalkan Ramadhan atau sebaliknya?
Sementaramasih ada sisa Syawal yang sahabat mungkin tidak terkira-kira menyambutnya, sama-samalah kita cuba mempertingkatkan nilai permarkahan puasa kita agar dapat kita
menikmati kerberkatan dan hikmah berpuasa enam Syawal.
Biarlah Ramadhan yang cuma sekali dalamsetahun itu benar-benar memberi kesan yang keinsafan dan ketakwaan terhadap diri kita.
Maafkan saya andaikata tulisan saya kali ini menyinggung perasaan sahabat semua. Bukan niat saya hendak melekehkan KEMAMPUAN dan KEKAYAAN sahabat semua. Apa yang saya luahkan ini sekadar satu bentuk keinsafan yang terbit di dalam hati ini, itu sahaja. Adakalanya kita perlu jujur dengan diri kita?
Raikanlah kemenangan sahabat semua di dalam menentang NAFSU dan bukan kita berhari raya atas nama menyambut kemenangan NAFSU ke atas diri kita sendiri, insya'ALLAH.
Selamat berjuang dan berjaya. Semoga Allah swt. memperkenankan pertemuan kita semua pada bulan Ramadhan di tahun hadapan, insya'Allah.
Allahhu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
~salam ceria selalu
roxannezy
No comments:
Post a Comment