Wednesday, November 08, 2006

TAWADUK SIFAT MULIA




TAWADUK bererti, merendah diri, tidak berbangga dengan kelebihan yang ada pada diri sendiri, sama ada dari segi ibadah, keturunan dan keluarga, pangkat dan kedudukan, ilmu dan pelajaran, harta benda dan kekayaan dan sebagainya. Orang yang mempunyai sifat tawaduk adalah orang yang sentiasa tunduk kepada setiap perintah Allah Subahanahu Wata'ala. Ia tidak akan bersifat sombong, tidak takbur, riyak atau ujub. Ia akan sentiasa mengasihi sesame makhluk maka ia pula akan dikasihi.


Orang yang mempunyai sifat tawaduk adalah orang yang memiliki budi pekerti yang luhur, berjiwa besar, lemah lembut dan bersopan santun. Ia dalam apa keadaan pun, di manapun kedudukannya akan sentiasa menghormati orang lain walaupun dirinya sendiri mempunyai kelebihan daripada orang lain atau orang lain itu lebih rendah kedudukannya daripada dirinya.


Orang yang bersifat tawaduk tidak akan bersifat takbur iaitu berperasaan tinggi diri, merasa diri lebih mulia, lebih besar, mempunyai kelebihan daripada orang lain dan menganggap orang lain adalah rendah dan hina. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Baihaqi, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :


"Sesiapa yang di dalam hatinya ada sifat takbur sebesar biji sawi, nescaya ditelengkupkan mukanya oleh Allah dalam api neraka".


Daripada sifat takbur ini akan lahir pula sifat sombpng dan angkuh. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Ibnu Mas'ud, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :


"Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong sebesar biji sawi. Dan tidak akan masuk neraka orang yang dalam hatinya beriman sebesar biji sawi".


Orang yang bersifat tawaduk tidak akan suka menunjuk-menunjuk atau meng'highlight' amal ibadat atau amal kebaikan dan kebajikan yang dikerjakannya. Hatinya sentiasa ikhlas melakukan sesuatu dan melakukan sesuatau itu bukan kerana riyak atau dengan niat untuk mendapatkan sebarang imbalan atau ganjaran seperti mendapatkan keuntungan wang ringgit, untuk mendapatkan pujian,mencari pangkat dan kedudukan, mencari nama, pengaruh dan seumpamanya.


Orang yang bersifat tawaduk akan merasa bahawa segala kelebihan, segala kenikmatan yang dimilikinya seperti kekayaan harta benda dan wang ringgit, ilmu pengertahuan, pangkat, kedudukan dan sebagainya itu adalah nikmat kurnia daripada Allah Subahanahu Wata'ala hasil daripada ikhtiar dan usahanya sendiri namun ia tidak akan memuji dirinya sendiri atau merasai dirinya lebih daripada orang lain, ia tidak akan memandang dirinya sahaja yang hebat, dirinya sahaja yang benar. Malah orang yang bersifat tawaduk akan sentiasa muhasabah diri, akan sentiasa mencari kekurangan dan kelemahan diri, sentiasa ingin belajar, menerima teguran orang, bertanya ataupun mengambil faedah daripada orang lain walaupun orang itu lebih rendah kedudukannya daripada dirinya sendiri.


Begitulah mulianya orang yang mempunyai sifat tawaduk. Bersederhana di dalam kehidupan termasuklah dari segi penampilan diri dan sifat peribadi. Mulia di sisi agama, mulia disisi sesama manusia. Namun ramai dari kita tidak mengetahui tentang kewajipan bersifat tawaduk ini. Malah, sama ada sedar atau tidak, kebanyakan daripada kita pada hari ini lebih bersifat menunjuk-nunjuk, membesar-besarkan diri, bersifat takbur, riyak dan ujub walaupun sifat-sifat yang sedemikian itu amat dibenci oleh Allah Subahanahu Wata'ala.


Menurut Rasulullah Sallallahun Alaihi Wasallam, Allah Subhananu Wata'ala akan mengurniakan empat perkara kepada orang yang dikasihi-Nya sebagaimana sabda Baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Thabarani dan Al-Hakim daripada Anas, yang bermaksud :


"Empat perkara yang tidak diberikan oleh Allah kecuali kepada orang yang dikasihi-Nya iaitu (orang yang) diam (yang menunjukkan) bahawa itu adalah permulaan ibadat, bertawakal kepada Allah, merendahkan diri dan zuhud di dunia (meninggalkan kepentingan dunia)".


Orang yang tawaduk akan mendapat rahmat daripada Allah Subahanahu Wata'ala sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Asfahani daripada Anas, yang bermaksud :


"Merendah diri itu tidak menambahkan bagi hamba melainkan ketinggian. Maka hendaklah kamu merendah diri supaya dicurahi rahmat oleh Allah".


~salam ceria selalu

No comments: