Sunday, November 05, 2006

MOTIVASI : SYUKUR JANGAN KUFUR


MOTIVASI MUTIARA DR DANIAL ZAINAL ABIDIN


Assalamulaikum wbt.

Tuan-tuan & puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Dalam al-quran seringkali Allah menceritakan tentang iblis dan syaitan. Allah mengatakan, iblis ini di kutuk dan di laknati Allah disebabkan ia sombong dan takbur kepada Allah. Allah swt pernah menyuruh iblis sujud kepada Adam tetapi iblis enggan sujud.


Dalam surah Al-Baqarah Allah menceritakan tentang sikap iblis ini melalui firmannya yang berbunyi "Aba wastakbara waka naminal kafirin ".


Iblis enggan mematuhi perintah Allah agar ia sujud kepada Adam. Lantaran ia sombong maka ia termasuk dalam golongan orang-orang yang kafir. Natijahnya ialah iblis mendapat laknat seumur hidup dan akan diseksa Allah seumur hidup.

Kita sebagai manusia perlu mengiktibarkan kisah-kisah seperti ini tetapi seringkali kita lupa. Lantas apabila Allah memberikan kurniaan dalam bentuk kesenangan dan nikmat kepada kita, kita lupa bahawa yang memberikan itu ialah Allah.


Anda masih ingat kisah kapal Titanic. Anda masih belum melupakan kisah ini saya rasa. Kapal Titanic ini memang terkenal sehingga di filemkan beberapa kali. Kapal ini merupakan suatu yang dibanggakan oleh British pada awal abad ke-20. Kapal Titanic ini merupakan sebuah kapal yang paling canggih pada awal abad ke-20 sebelum ini. Panjangnya 900 kaki. Beratnya 46.000 tan. Pakar-pakar yang mencipta Titanic mengatakan, It was virtually unsinkable- kapal ini tidak mungkin tenggelam.


Andaikata ia mendapat kemalangan ia tidak mungkin karam sebab jika ia karam ia akan memakan masa selama 2 hari. Dalam masa 2 hari kita dapat membantu, menolong dan akhirnya ia tak akan tenggelam juga.Ia tak mungkin tenggelam. Kata mereka ketika itu. Ia akan dapat diselamatkan walaupun apa saja yang berlaku keatas kapal Titanic.


Pada bulan April 1912 dalam pelayarannya yang pertama ia tenggelam dalam jangkamasa tidak sampai 3 jam dan selepas ia tenggelam, bangkai kapal titanic tak di temui selama lebih kurang 3 suku abad.


Manusia sombong. Manusia berkata kapal itu tidak mungkin tenggelam tetapi ia tenggelam dalam pelayarannya yang pertama. Jadi hebat mana kita. Kita ada pangkat besar dan boleh membuat rumah sesuka hati kita. Kita berjawatan tinggi sehingga tidak perlu menghadiri mesyuarat. Kita di gelar datuk dan seumpamanya sehingga boleh membatalkan apa-apa projek yang kita suka. Kita pemimpin yang kononnya boleh buat apa yang kita mahu.


Kita, kita dan kita ini perlu belajar dari kisah iblis dan kapal titanic yang di cipta manusia dan akhirnya tenggelam pada pelayarannya yang pertama.

Justeru Allah swt. menyuruh kita mencontohi sebagai contohnya Nabi Allah Sulaiman. Nabi Allah Sulaiman yang kaya raya dan kekayaannya tidak ada tolok bandingannya. Nabi Allah Sulaiman tidak sombong. Lantas kita boleh kaya. Islam tidak menghalang kita mencari kekayaan asalkan cara yang halal. Nabi Allah Sulaiman kaya raya tetapi Nabi Allah Sulaiman berdoa kepada Allah.


Anda boleh melihat doa yang indah ini dalam surah An-Naml ayat 19 yang bermaksud, "Tuhanku, ilhamkanlah kepadaku tentang cara terbaik untuk aku mengsyukurimu kerana nikmat yang kamu berikan kepadaku ". Itu permintaan Nabi Allah Sulaiman yang kaya raya, yang hebat kekuasaannya bermohon kepada Allah agar ditunjukkan tentang cara terbaik untuk mengsyukuri Allah.


Baginda sudah pasti mengsyukuri Allah tetapi nak minta Allah tunjukkan lagi apa yang sepatutnya baginda lakukan untuk bersyukur kepadanya secara yang lebih halus.


Kemudian baginda meneruskan doa dengan berkata, " Dan ilhamkan kepadaku agar aku sentiasa beramal soleh dan amal soleh itu kamu redho". Nabi Allah Sulaiman minta kepada Allah kekuatan untuk sentiasa beramal soleh tuan-tuan & puan-puan.


Apa yang anda dan kita minta hari ini tuan-tuan & puan-puan. Minta untuk beramal soleh ?. Nabi Allah Sulaiman meminta agar amal soleh itu di redhoi. Bukan sekadar beramal soleh. Minta amal itu Allah redhoi. Bukan amal soleh yang orang redho. You are good, you are great, you are fantastic, bukan itu yang baginda mahu. Manusia tidak redho biarkan. Aku mahu kamu ya Allah redho.


Inilah kisah-kisah daripada quran. Kisah-kisah yang sepatutnya kita amati. Kisah yang sepatutnya kita berikan keperihatinan kita di era dimana manusia sombong, berlagak, salah guna kuasa, salah guna jawatan tinggi dan manusia tidak sedarkan diri. Maka disaat seperti ini marilah kita kembali kepada quran. Ambil contoh-contoh baik daripadanya sebagai contoh Nabi Allah Sulaiman agar insyaallah menjadi orang yang sentiasa mengsyukuri nikmat Allah secara yang betul dan kita juga menjadi orang yang sentiasa beramal soleh dimana saja kita berada dengan niat amal itu diredhoi oleh Allah swt bukan sangat diredhoi oleh makhluk-makhluk yang lemah seperti kita.


Semoga insyaAllah tenggelamnya kapal titanic tidak menyebabkan kita juga tenggelam. Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita bersama insyaAllah

~salam ceria selalu

No comments: